Tuesday, October 28, 2008

Hari Keluarga di Port Dickson

Pada 26-27 Oktober, kami telah menyertai hari keluarga sekolah Mama yang diadakan di PD Marina Resort. Bertolak lewat petang dan sampai sewaktu maghrib. 'Venue' hari keluarga tu boleh tahan, cuma tempat majlis makan malam tu tak berapa cantik. Pada majlis tu Mama dan Ana dapat hadiah cabutan nombor bertuah. Keesokan hari, selepas sarapan pagi diadakan sukaneka mengikut kategori dewasa, remaja, kanak-kanak, dan pasangan suami isteri. Tak menang apa-apa hadiah pun dalam sukaneka tu. Tamat aktiviti sukaneka, acara bebas sementara menunggu makan tengah hari, Afiq, Ana, Iman dan Annisa sempat mandi kolam yang ada di situ. Sebelum bertolak balik, kami singgah di pantai dekat Port Dickson, sekejap sahaja tak sempat mandi laut pun sebab cuaca terlalu panas.

Sunday, October 26, 2008

Annisa Tinggal dengan Ayah

Hari ini, (25 Oktober) kali pertama Mama pergi kuliah dan bermalam di sana, dan kali pertama juga Annisa tinggal di rumah dengan ayah, abang dan kakaknya. Okay jugak, dia tak meragam pun pada waktu siang. Pagi selepas bangun dia mandi dan selepas itu pergi sarapan makan roti canai. Balik ke rumah tengah hari dia tidur, dan bangun pukul 3 petang dia main dengan abang dan kakak. Malam pulak dia makan nasi, sikit sahaja dalam tiga suap dan lepas tu tak nak lagi. Pukul 8.30 malam dia mula mengantuk dan masuk tidur, dan tertidur setelah habis minum susu sebotol. Lewat malam tu dia merengek jugak sebab biasanya Mama tidur dengan dia dan kalau terbangun tentu 'nenen' dah ada. Malam tu dua kali dia minum susu botol je, dan bangun pagi selepas mandi, apa lagi pergi pekena roti canai lagi, dia memang suka dan minum air coklat kotak. Dalam perjalanan balik, kami pergi ambil gambar-gambar prasarana di TBR untuk kerja Kajian Tempatan abang. Sampai di rumah, Annisa nampak mengantuk dan tidur dalam buaian...sambil menunggu Mamanya balik dari KUIS. 

Monday, October 20, 2008

Pendaftaran KUIS

Kelmarin, Sabtu (18 Oktober) Mama telah mendaftar diri sebagai pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) secara rasminya. Awal pagi kami bertolak dari rumah ke Ampang sebab budak-budak empat orang ni tinggal dengan Opah sementara Mama dan tiga orang kawannya pergi ke KUIS. Perjalanan agak jauh juga, lebih kurang 45 minit daripada Ampang. Tiba di KUIS mereka mendaftaran diri dan menyerahkan borang-borang pendaftaran kepada petugas di situ. Kemudian semasa bersarapan di kafeteria, Mama memaklumkan yang mereka perlu mengikuti beberapa taklimat sehingga jam 9.00 malam. Di rumah Opah, budak-budak tu okay aje, tapi menjelang senja, Annisa mula meragam, rindukan mama dia. Setiap kali batuk dia akan muak susu yang diminum, dua tiga kali jadi macam tu. Tidur pun dia tak mahu, sebab bila muak habis baju basah. Memandangkan dia kurang sihat, akhirnya Opah turut serta menjemput Mama di Bandar Seri Mahkota (dekat Nilai) pada malam tu. Dalam perjalanan tu pun dia masih begitu, dan akhirnya tertidur setelah sepertiga jalan. Sampai di KUIS, Mama dan kawannya sudah menunggu. Keadaan lalulintas sesak pada malam tu, mungkin ramai yang berjalan untuk beraya agaknya. Sampai di rumah Opah, kami berkemas dan ambil budak-budak tu dan bertolak pulang ke rumah, keadaan jalan masih serupa sesak dan membosankan. Akhirnya kami sampai di rumah jam 12 malam, dan semuanya tidur kepenatan.